Saturday, 11 February 2017

SUNNAH MEMBACA SURAH AL-FATIHAH SELEPAS SOLAT FARDHU (STATUS HADIS KELEBIHAN MEMBACA SURAH AL-FATIHAH SELEPAS SOLAT FARDHU)


Soalan : Baru-Baru Ini Digemparkan Dengan Beberapa Kenyataan Yang Mengatakan Bahawa Hadis Dibawah Ini Iaitu Hadis Kelebihan Membaca Surah Al-Fatihah Selepas Solat Fardhu Adalah Palsu? Benarkah Anggapan Begitu?

ان فاتحة الكتاب وآية الكرسي والآيتين من آل عمران: شهد الله أنه، لاأله إلا هو والملائكة وأولوا لعم قائما بالقسط لا إله إلاهو العزيز الحكيم. إن الدين عند الله الإسلام و قل اللهم مالك الملك تؤتي الملك من تشاء وتنزع الملك ممن تشاء و تعز من تشاء، وتذل من تشاء. إلى قوله: وترزق من تشاء بغير حساب. هن مشفعات، مابينهن وبين الله حجاب، فقلن: يارب! تهبطنا إلى أرضك وإلى من يعصيك؟ قال الله: بي حلفت لايقرؤهن أحد من عبادي دبر كل صلاة إلا جعلت الجنة مأواه على ماكان فيه، وإلا أسكنته حظيرة الفردوس، وإلا قضيت له كل يوم سبعين حاجة أدناها المعفرة.

Sesungguhnya surah al-Fatihah, ayat al-Kursi dan dua ayat dari surah Ali-Imran (ayat 18-19 , dengan ayat ke-26) adalah ayat-ayat yang memberi syafaat yang tidak ada penghalang antara ayat-ayat itu dengan Allah. Ayat-ayat itu berkata: Wahai Tuhan, Engkau turunkan kami ke bumi-Mu dan di tengah orang-orang yang bermaksiat kepada-Mu? Allah berfirman: Dengan zat-Ku Aku bersumpah, tidaklah seorang dari hamba-Ku yang membaca ayat-ayat tadi pada setiap selesai solat kecuali pastilah Aku jadikan baginya syurga tempat kembalinya, atau Aku tempatkan di dalam syurga Firdaus atau Aku penuhi baginya setiap hari 70 keperluan dan yang paling rendah adalah keampunan.

Telah diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab al-Majruhin 1/218, Ibnu Sunni (no. 322), dan lainnya dengan sanad dari Muhammad bin Zanbur dari Harits bin Umair dari Ja’far bin Muhammad dari ayahnya dari datuknya dari Abi bin Abi Thalib ra

JAWAPAN :

Hadith ini telah menjadi perselisihan di kalangan ulama' hadith mengenai kesahihannya mengenai status al-Harith bin Umair. Sesetengah orang menyatakan amalan wirid ini sebagai bid'ah sesat, Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak pernah melakukannya sudah tentunya menempatkan pelakunya ke dalam neraka. - Mudah bukan ?

Majoriti Ulama' masih menyatakan Hadith ini masih boleh diamalkan kerana Imam Jalauddin Al-Sayuthi dan Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqolani sendiri telah membela perawi hadith ini iaitu Al-Harith bin 'Umair yang dipertikaikan itu. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Tahziibu al-Tahzib - Jilid 2, m/s 132 : Maksudnya : Apa yang jelas dan nyata bagiku sesungguhnya Hadith ini (kalaupun ianya dihukumkan doif sekalipun) maka sebab yang menjadikannya doif tiada kaitan dengan al-Harith bin Umar.

Di dalam kitabnya al Taqrib - Jilid 1, m/s 147 pula beliau berkata maksudnya :

Al-Harith bin 'Umair ini telah dihukumkan thiqah oleh kebanyakan ulamak-ulamak hadith. Tetapi di dalam setengah riwayatnya terdapat beberapa perkara yang dipertikaikan oleh Ulama' hadith mengenai kesahihannya. Justeru itulah Imam al-Azdi, Ibn Hibban dan lainnya telah menghukumkan dirinya doif. Boleh jadi ini berlaku kerana kekuatan hafalannya berubah menjadi lemah di akhir hidupnya.

Ulasan Imam Jalaluddin al-Sayuthi - Jami' al Ahadith Jil 31, m/s 111, Kanzul Ummal Jilid 2, m/s 679 mengenai hadith ini , katanya yang bermaksud :

al-Hafiz Abu al-Fadhl al-Iraqi (Guru kepada al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqolani) telah ditanya berkenaan Hadith ini jawabnya : "Semua perawi dalam sanad hadith ini telah dihukumkan thiqah oleh Imam-imam Hadith yang terdahulu. Tetapi setengah mereka ada yang dikritik oleh Ulamak-Ulamak hadith yang terkemudian. Perawi yang dipertikaikan di dalam sanad hadith ini ialah Muhammad bin Zambur al Makkiy (info : Sheikh Albani menyatakan : Tiada ada walaupun seorang Imam hadith yang mempertikaikan kesahihan Muhammad bin Zambur) dan al-Harith bin 'Umair. Kedua-dua mereka telah dihukumkan thiqah oleh segolongan Imam-imam hadith. Tetapi dalam masa yang sama Imam Ibnu Khuzaimah telah menghukumkan Muhammad bin Zambur sebagai doif.Sementara Imam Ibnu Hibban dan al-Hakim telah menghukumkan doif al-Harith bin 'Umair.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqolani pula dalam kitabnya al-Amaali telah mengulas mengenai peribadi al-Harith bin 'Umair dengan katanya : "Sesungguhnya al-Harith, kami tidak pernah menemui walaupun satu kritikan terhadapnya daripada Imam-imam Hadith muktabar yang terdahulu. Bahkan Imam Hammad bin Zaid telah memujinya sedangkan beliau sendiri lebih tua daripada al-Harith bin 'Umair.

Al Harith bin 'Umair juga telah dihukumkan thiqah oleh para pengkritik hadith seperti Ibnu Ma'in, abu Harim al-Raazi, al-Nasa'ie, Ibnu Hibban dan Imam Bukhari sendiri, di mana beliau telah mengeluarkan hadith riwayat al-Harith bin 'Umair dalam bentuk ta'liq. Selain itu al-Harith juga telah mendapat pengiktirafan thiqah daripada Ashabu al-Sunan.

Cuma (di tempat yang lain pula) Imam Ibnu Hibban telah memasukkannya ke dalam perawi yang dihukumkan lemah riwayatnya dan beliau telah bersungguh-sungguh menceritakan kelemahannya. Adapun perawi-perawi sebelum al-Harith, maka tidak perlu dipertikaikan lagi kebenaran mereka kerana ketinggian darjat mereka di sisi Imam-imam Hadith.

Kata Ibnu Hajar al-Asqolani lagi : "Sementara Ibnu al-Jauzi pula terlalu memperlekehkan kewibawaan al-Harith sehingga beliau telah memasukkan hadith ini ke dalam kumpulan-kumpulan hadith-hadith maudhu'. Boleh jadi beliau bersikap sedemikian kerana tidak dapat menerima ganjaran pahala yang terlalu besar yang disebutkan di dalam hadith tersebut. Kalau bukan kerana penyebutan pahala tersebut. maka kedudukan dan status semua perawinya sebagaimana yang kamu semua dapat lihat (adalah thiqah dan tidak perlu dipertikaikan lagi)."

Berdasarkan kepada kenyataan al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqolani ini, maka kami rasa sudah memadai untuk kami beramal dengan hadith al-Harith. Manakala ulasan Syeikh Albani mengenai hadith ini pula tidak begitu adil, tidak cermat kerana beliau tidak menyebut dengan jelas ulasan, pembelaan dan pengiktirafan yang telah diberikan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqolani dan Al-Hafiz al Iraqi terhadap al-Harith. Wallahua'lam.

Dipanjangkan Oleh :
ABU SUNNAH
AHLI SUNNAH WALJAMAAH NEGERI SEMBILAN

No comments:

Post a Comment