Apakah hukum berjabat tangan bagi seorang Muslim kepada saudara seagamanya setelah selesai solat? Adakah ia Bid'ah yang tercela?
Jawapan :
Berjabat tangan itu adalah Sunnah pada hukum dasarnya. Imam Nawawi berkata,
“Ketahuilah bahawa berjabat tangan ketika berjumpa itu adalah Sunnah hukumnya. Ini sudah menjadi ijma’ di kalangan para ‘alim ulama.” (Al Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari, vol 11, hlm 55 diambil daripada pendapat Imam Nawawi).
Ibnu Baththal berkata,
“Hukum dasar berjabat tangan itu adalah baik dan elok sekali menurut para ulama’ umumnya.” (Al Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari, vol 11, hlm 55 di ambil daripada pendapat Imam An Nawawi : dan Al Mubarakfuri, Tuhfat al Ahwazi vol 7, hlm 426).
Banyak di kalangan para ahli feqah dari pelbagai mazhab yang menyatakan dengan tegas bahawa sunnahnya berjabat tangan di antara sesama kaum lelaki. Mereka mengambil dalil di atas hal itu dari sejumlah hadith-hadith sohih dan hasan, antara lainnya hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Ka’ab bin Malik RadiyaLLahu ‘anhu, beliau berkata :
“Aku memasuki Masjid, ternyata bahawa di dalamnya (masjid) ada RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam. Lalu saidina Abu Talhah bin UbaiduLLah radiyaLLahu ‘anhu yang berdiri kepadaku (menyambut) dengan langkah cepat (bergegas) hingga dia menjabat tanganku dan mengucapkan selamat padaku.” (Hadith riwayat Ahmad, Musnad Ahmad vol 3, hlm 458 : Bukhari, Sohih BUkhari, vol 4, hlm 1607 dan Muslim, Sohih Muslim vol 4, hlm 2126)
Juga hadith yang diriwayatkan daripada Saidina Qatadah radiyaLLahu ‘anhu, bahawa beliau berkata,
“Aku bertanya kepada Saidina Anas radiyaLlahu ‘anhu. Apakah berjabat tangan itu dilakukan oleh para Sahabat Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam? ” beliau (Anas radiyaLLahu ‘anhu) menjawab, “Ya” (Hadith Riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 5, hlm 231 ; dan Ibnu Hibban, Sunan Ibnu Hibban, vol 2 hlm 245).
Hadith yang diriwayatkan daripada Atha’ bin Abu Muslim AbduLlah Al Khurasani bahawa beliau berkata, RasuluLLah SallaLLahu ‘alaihi wasallam telah bersabda (yang bererti) :
“Berjabat tanganlah kalian, pasti hilang kedengkian. Dan saling kalian memberi hadiah, pasti kalian saling sayang menyayangi dan hilanglah kebencian (sifat saling bermusuhan). ” (Hadith riwayat Dailami, Musnad al Firdaus, vol 2, hlm 47)
Manakala berjabat tangan setelah selesai solat, tidak ada seorang pun dari para ulama’ yang mengharamkan berjabat tangan. Mereka berpendapat, hukumnya (berjabat tangan) adalah Sunnah dan itu adalah bid’ah hasanah, atau bid’ah yang mubah (diharuskan).
Imam Nawawi memperincikan penjelasan tentang masalah ini dan berkata :
” Jika seseorang yang berjabat tangan sebelum solat, maka itu adalah Sunnah yang baik. Jika dia mengucapkan salam kepadanya (yang berjabat tangan) sebelumnya (solat) maka hukumnya adalah mubah (harus)” (Imam Nawawi, Al Majmu’ vol 3, hlm 469-470)
Al Hashkafi berkata,
“Sebutan secara mutlaq (menyebutkan secara mutlaq ‘bersalaman setelah selesai solat’ tanpa mengaitkannya dengan solat tertentu atau keadaan tertentu) daripada pengarang (iaitu al Tamartasyi) mengikut ad Durar, al Kanz, al Wiqayah, An Niqayah, al Majmu’, al Multaqa’ dan selainnya menunjukkan hukumnya (berjabat tangan) adalah boleh, walaupun setelah selesai solat Asar.”
Adapun ucapan mereka. “Sesungguhnya itu bid’ah maksudnya adalah bid’ah hasanah yang diperbolehkan’ sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam kitab al Azkar. ”
(Al Hashkafi. Al Durr Al Mukhtar, dicetak Kitab Hasyiah ‘Abidin di bahagian tepinya, vol 6, hlm 380)
Setelah menyebutkan pendapat sebahagian daripada ulama Mazhab Hanafi yang menyatakan bahawa hukumnya adalah sunnah secara mutlaq. Ibnu Abidin memberikan pandangan mengenai kenyataan tersebut dan berkata :…
“Itulah pendapat yang seiring dengan apa yang telah dikemukakan oleh Syarah (Al Hashkafi) dari pemutlaqan ungkapan kitab-kitab matan. Beliau berdalil terhadap pendapat itu daripada umumnya nas-nas yang diriwayatkan berkenaan dengan disyariatkannya kita berjabat tangan. ”
(Ibnu Abidin Radd al Muhtar ‘Ala Ad Durr Al Mukhtar yang dikenali dengan Hasyiah Ibnu ‘Abidin, vol 6, hlm 381) Mereka menyatakan bahawa berjabat tangan setelah selesai solat adalah sunnah secara mutlak.
Imam Thobari menguatkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad radiyaLlahu ‘anhu dan Bukhari dari Abu Juhaifah radiyaLLahu ‘anhu, beliau berkata :
“RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam telah keluar pada tengahari yang panas ke lembah (di luar batas Mekah; pada masa lalu). Lalu Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam berwuduk kemudian melakukan solat Zohor 2 rakaat dan Asar 2 rakaat (solat jamak dan qasar). Dan di depannya ada tongkat (bermata yang lebih pendek dari tombak) yang di belakangnya telah lalu seorang wanita. Orang-orang pun berdiri, lalu mereka mulai meraih (mengambil) kedua tangan Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam dan mengusap-usap dengannya (tangan Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam) ke wajah-wajah mereka. Abu Juhaifah radiyaLlahu ‘anhu berkata, “Lalu aku meraih (mengambil) tangannya (tangan Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam) dan aku meletakkannya ke wajahku; ternyata ia (tangan Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam) lebih sejuk daripada salju dan lebih wangi daripada misk (minyak wangi) “. (Riwayat Bukhari, Sahih Bukhari, vol 3, hlm 1304)
Al Muhib At Thobari berkata, “Dijadikan sandaran kuat dengan halitu, (bersalaman) terhadap apa yang sesuai dalam tradisi orang ramai, iaitu berjabat tangan (bersalaman) setelah selesai solat berjemaah. Khususnya Solat Asar dan Solat Maghrib. Apabila disertai dengan tujuan yang baik seperti mengambil keberkatan, mengakrabkan diri, dan seumpamanya.
Sementara Izzuddin Abdissalam. setelah membahagi-bahagikan perkara-perkara bid’ah ke dalam 5 bahagian iaitu : Wajib, Haram, Makruh, Sunnah dan Mubah (harus), beliau berkata :
“Bid’ah-bid’ah yang mubah (harus) ada beberapa, antara lainnya ialah : berjabat tangan (bersalaman) setelah selesai Solat Subuh dan Solat Asar.” (Izzuddin Ibnu Abdissalam, Qawa’id al Ahkam fi Mashalih al Anam, vol 2, hlm 205)
Imam Nawawi berkata, “Adapun berjabat tangan (bersalaman), yang telah mentradisi atau mengamalkannya setelah selesai Solat Subuh dan Solat Asar ialah :
Syaikh Imam Abu Muhammad bin Abdissalam (semoga ALLah subahanahu wa ata’ala merahmati beliau) telah menyebutkan bahawa itu termasuk di dalam bid’ah yang mubah (harus) ; tidaklah disifatkan sebagai makruh dan galakan. Apa yang beliau sebutkan ini adalah baik. Pendapat yang dipilih disebutkan begini : apabila seseorang yang berjabat tangan (bersalaman) dengan orang yang bersamanya sebelum solat, maka hukumnya adalah mubah (harus), sebagaimana yang telah kami kemukakan. Apabila seseorang berjabat tangan (bersalaman) dengan orang yang tidak bersamanya sebelum solat, maka hukumnya adalah Sunnah. Ini adalah sebab berjabat tangan (bersalaman) ketika berjumpa adalah perbuatan Sunnah Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam berdasarkan ijma’ yang bersandarkan kepada hadith-hadith sahih tentang hal itu (bersalaman). (Imam An Nawawi, Al Majmu’, vol 3, h;m 469-470)
Dengan ini, maka bolehlah kita ketahui bahawa siapa yang mengingkari perbuatan ini (bersalaman), maka boleh jadi dia tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang kami sebutkan atau dia tidak berjalan di atas bidang ‘ilmiah sama sekali. Dan ALLah subahanahu wa ta’ala Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.
Sumber : Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor
Dipanjangkan Oleh :
ABU SUNNAH
AHLI SUNNAH WALJAMAAH NEGERI SEMBILAN
No comments:
Post a Comment