Saturday, 11 February 2017
SUNNAH RASULULLAH SAW MEMBACA بسم الله الرحمن الرحيم SECARA KUAT OLEH IMAM KETIKA MEMULAKAN BACAAN AL-FATIHAH
Setiap orang yang melakukan solat diwajibkan membaca Basmalah pada awal surat Al-Fatihah kerana basmalah merupakan ayat pertama darinya. Hal tersebut berdasarkan kepada hadis sahih dan kuat dari Rasulullah saw.. Antara lain yang dikemukakan oleh Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw. bersabda: “Jika kamu sekalian membaca Alhamdulillah, maka bacalah Bismillahir Rahmaan Rahiim. Sesungguhnya Al-Fatihah itu Ummu Al- Qur’an (induk Alqur’an), Ummul-Kitab (induk Kitab), As-Sab’ Al-Masani dan Bismillahir Rahmaanir Rahiim. Adalah salah satu ayatnya”. HR.Duruquthny [I:312], Imam Baihaqi [II:45] dan lain-lainnya dengan isnad sahih baik secara marfu’ mahu pun secara mauquf).
Ibnu ‘Abbas ra. meriwayatkan bahawa dia membaca Al-Fatihah, lalu membaca wa laqad atainaaka sab’an min al-matsaaniya wal Qur’anal ‘Azim. Lalu dia berkata, “Itulah Fatihat al-Kitab (Pembuka Al-Kitab/Alqur’an) dan Bismillahir Rahmaanir Rahiim adalah ayat yang ketujuh” (Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Al-Fath VIII:382 mengatakan hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Tobrani dengan isnad Hasan)
Diriwayatkan dari Ummu Salamah ra. bahawa, “Rasulullah saw. membaca Bismillahi Ar-Rahmaan Ar-Rahiim dalam solat, dan beliau menganggapnya sebagai satu ayat…” (HR Abu Daud dalam as-Sunan [IV:37], Imam Duruquthni [I:307], Imam Hakim [II:231], Imam Baihaqi [II:44] dan lain-lainnya dengan isnad sahih).
Imam Ishak bin Rahuwiyah pernah ditanya tentang seseorang yang meninggalkan Bismillahi Ar-Rahmaan Ar-Rahiim. Maka dia menjawab; “Siapa yang meninggalkan ba’, atau sin, atau mim dari basmalah, maka solatnya batal, kerana Al-hamdu (Al-Fatihah) itu tujuh ayat”. (Hal ini akan dapat ditemui dalam kitab Siyar A’lam Al-Nubala’ [XI:369] karangan Az-Zahabi).
Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan Abu Hurairah [ra] serta yang lainnya: “ Bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad saw. menjaharkan (bacaan) Bismillahi Ar-Rahmaan Ar-Rahiim”. (Hadis dari Ibnu ‘Abbas, diriwayatkan oleh Al-Bazzar dalam Kasyf Al-Atsar [I:255]; Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra [II:47] dan dalam kitab Ma’rifat As-Sunan wa Al-Atsar [II:308] dan lain-lainnya ; Al-Haitsami dalam Mujma’ Al-Zawaid [II:109] mengatakan, hadis tersebut di riwayatkan oleh Al-Bazzar dan rijal-nya mautsuuquun (dipercayai) ;
Al-Duruquthni [I:303-304] telah meriwayatkan dalam berbagai jenis isnad siapa pun yang menemukannya tidak akan meragukan kesahihannya. Perincian perbicaraannya dapat dilihat pada jilid III dari At-Tanaqudhat. Ada pun hadis dari Abu Hurairah ra., diriwayatkan oleh Imam Hakim dalam Al-Mustadrak-nya [I:232] dan perawi lainnya. Hadisnya shohih.
Az-Zahabi berusaha melemahkan hadis tersebut dalam Talkhish Al-Mustadrak. Dia mengatakan, ‘Muhammad itu dhaif’, yang dia maksudkan adalah Muhammad bin Qais, tetapi sebenarnya tidak sedemikian. Muhammad bin Qais sebenarnya orang yang baik dan dan dipercayai, termasuk rijal (sanad) Imam Muslim sebagaimana disebutkan dalam Tahzib At-Tahzib [IX:367]. Disitu disebutkan Muhammad bin Qais diakui mautsuuq oleh Ya’qub bin Sufyan Al-Fusawi dan Abu Dawud, Al-Hafiz pun mengakui hal itu di dalam At-Taqrib-nya)
Disebutkan dalam sahih Bukhori [II:251 dalam Al-Fath al-Bari], bahawa Abu Hurairah ra. berkata: “Pada setiap solat dibaca (Al-Fatihah dan surah). Apa yang yang beliau perdengarkan (jaharkan) maka kami pun memperdengarkannya (menjaharkannya), dan apa yang beliau samarkan , maka kami pun menyamarkannya…”.
Ada orang yang menyebutkan bahawa Rasulullah saw. kadang-kadang memperlahankan dan kadang-kadang menjaharkan (bacaan basmalah), itu tidak benar. Kerana mereka juga berdalil dengan hadis-hadis mu’allal yang ditolak. Bahkan sebahagiannya hanya disimpulkan dari hasil pemahaman (al-mafhum) yang berlawanan dengan hadis al-manthuq, yang jelas menyatakan adanya menjahar bacaan basmalah. Sedangkan yang manthuq itu harus didahulukan atas yang mafhum, sebagaimana ditetapkan dalam ilmu usul fiqh.
Imam Muslim didalam Sahih-nya [I:300] meriwayatkan hadis dari Anas ra. yang mengatakan: “Ketika suatu hari Rasulullah saw. berada disekitar kami, tiba-tiba beliau mengantuk (tidur sebentar), lalu mengangkat kepalanya sambil tersenyum. Kami bertanya; ‘Apa yang menyebabkan engkau tertawa wahai Rasulullah’? Beliau menjawab; ‘Tadi ada surah yang diturunkan kepadaku, lalu beliau membaca Bismillahi Ar-Rahmaan Ar-Rahiim, innaa a’thainaaka al-kautsar….sampai akhir hadis’ “.
Imam Nawawi mengatakan dalam Syarah Muslim [IV:111) bahawa basmalah itu merupakan satu ayat dari setiap surah kecuali surah Bara’ah atau at-Taubah berlandaskan dalil bahawa basmalah itu ditulis didalam mushaf dengan khat(tulisan/ kaligrafi) mushaf.
Hal itu berdasarkan kepada kesepakatan sahabat dan ijma’ mereka bahawa mereka tidak akan menetapkan sesuatu didalam Alqur’an dengan khat Alqur’an yang selain Alqur’an. Umat Islam sesudah mereka pun sejak dahulu sampai sekarang, sepakat atau berijma’ bahawa basmalah itu tidak ada pada awal surah Bara’ah dan tidak ditulis padanya. Hal itu semua menguatkan apa yang telah kami katakan.
Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim Al-Mujmir seorang Imam, Faqih, dipercayai termasuk periwayat hadis Sahih Enam sempat bergaul dengan Abu Hurairah ra. selama 20 tahun : “Aku melakukan solat dibelakang Abu Hurairah ra., maka dia membaca Bismillahi Ar-Rahmaan Ar-Rahiim lalu dia membaca Ummu Alqur’an hingga sampai kepada Wa laadh dhaalliin kemudian dia mengatakan amin. Dan orang-orang pun mengucapkan amin. Setiap (akan ) sujud ia mengucapkan Allahu Akbar. Dan apabila bangun dari duduk dia mengucapkan Allahu Akbar. Dan jika bersalam (mengucapkan assalamu‘alaikum). Dia kemudian mengatakan, ‘Demi Tuhan yang jiwaku ada pada kekuasaan-Nya, sesungguhnya aku orang yang lebih mirip solatnya dengan Rasulullah saw daripada kalian”. (Imam Nasa’i dalam As-Sunan II:134; Imam Bukhori mengisyaratkannya hadis tersebut dalam sahihnya [II:266 dalam Al-Fath] ; Ibnu Hibban dalam sahihnya [V:100] ; Ibn Khuzaimah dalam sahihnya I:251 ; Ibn Al-Jarud dalam Muntaqa halaman 184 ;Al-Duruquthni [I:300] mengatakan semua perawinya siqah ; Hakim dalam Al-Mustadrak [I:232] ; Imam Baihaqi dalam As-Sunan [II:58] dan dalam kitab Ma’rifat As-Sunan wa Al-Atsar [II:371] dan mengatakan isnadnya sahih. Dan hadis itu disahihkan oleh sejumlah para penghafaz hadis seperti Imam Nawawi, Ibn Hajar dalam Al-Fath [II:267] bahkan dia mengatakan bahawa Imam Nawawi membuat bab khusus ‘Menjaharkan Bismillahi Ar-Rahmaan Ar-Rahiim’, itulah hadis yang paling sahih mengenai hal tersebut).
Tetapi sebenarnya hadis itu bukan yang paling sahih, kerana hadis Anas yang diriwayatkan Imam Bukhori lah yang paling sahih iaitu “Rasulullah saw. me-mad-kan (memanjangkan bacaan) bismillah, me-mad-kan Ar-Rahmaan dan me-mad-kan Ar-Rahiim”. Ibn Hajar dalam Al-Fath II:229 telah menetapkan untuk menggunakan hadis yang menetapkan adanya jahar dalam membaca basmalah. Selanjutnya dia mengatakan, ‘Maka jelaslah (benarnya) hadis yang menetapkan adanya jahar dengan basmalah’.
Dalam Sahih Bukhori [IX:91 dalam Al-Fath] disebutkan bahawa Anas bin Malik ra. pernah di tanya mengenai bacaan Nabi Muhammad saw.. Dia menjawab: “Bacaan Nabi itu (mengandungi) mad (dipanjangkan), (iaitu ) memanjangkan bacaan Bismillah, memanjangkan kata Ar-Rahman dan memanjangkan kata Ar-Rahim”.
Ada pun hadis Anas ra. yang antara lain mengatakan: “Aku melakukan solat dibelakang Nabi Muhammad saw., Abu Bakar, Umar dan ‘Usman. Mereka membuka (bacaan Alquran) dengan Alhamdulillah Rabbil ‘Aalamiin dan mereka tidak menyebut (membaca) Bismillahi Ar-Rahmaan Ar-Rahiim baik di awal pembacaannya mahu pun di akhirnya”. Dalam riwayat lain disebutkan: “Maka aku tidak mendengar salah satu di antara mereka membaca Bismillahi Ar-Rahmaan Ar-Rahiim yang diriwayatkan Imam Muslim dalam sahih-nya [I:299no.50 dan 52]. Hadits tersebut mu’allal (hadis yang mempunyai banyak ‘ilat atau yang menurunkannya dari darjat sahih). Diantara ‘ilat atau penyakit yang melemahkan darjat hadis itu adalah, ungkapan terakhir dalam hadis tersebut ‘Mereka tidak menyebut atau membaca Bismillah’. Sebenarnya itu bukan dari perkataan (hadis) Anas, tetapi hanya perkataan salah seorang perawi yang memahami kata-kata Alhamdulillah Rabbil ‘Aalamiin dan tidak bermaksud untuk metiadakan basmalah dari Al-Fatihah.
Argumen ini dikuatkan dengan hadis Abu Hurairah ra., disebutkan bahawa Rasulullah saw. bersabda, ”Alhamdulillah rabbil ‘aalamiin sab’u ayat ihdaa- hunna Bismillahi Ar-Rahmaan Ar-Rahiim, wa hiya as-sab’u al-matsaani wa al-Quraani al-‘azhiim, wa hiya Ummu Al-Qur’an wa Fatihat Al-Kitaab, (Al-Fatihah itu tujuh ayat, salah satunya adalah Bismillahi Ar-Rahmaan Ar-Rahiim. Itulah tujuh (ayat) yang diulang-ulang Al-qur’an yang agung dan itulah induk Alqur’an dan Fatihat (Pembuka) Al-Kitab (Alqur’an)”. Al-hafiz Al-Haitami dalam Al-Mujma’ [II:109] mengatakan, “Hadis tersebut diriwayatkan Imam Thabarani dalam Al-Ausath, rijal-nya tsiqah”.
Dari keterangan itu semua dapat ditetapkan ada empat indikasi mengenai kelemahan hadis Anas ra diatas tersebut:
a). Hadits yang sahih dan tsabit (kuat) yang diriwayatkan Imam Bukhori dari Anas berlawanan dengan hadis tersebut. Dalam hadis itu disebutkan, “Bacaan Nabi itu (mengandung) mad (dipanjangkan), (iaitu) memanjangkan bacaan Bismillah, memanjangkan kata Ar Rahman dan memanjangkan kata Ar-Rahim”.
b). Semua Hafiz pakar penghafaz hadis yang menulis dalam Mustolah Hadis dan mengarang mengenai hadis, menyebutkan hadis Anas tersebut sebagai contoh hadis mu’allal yang meniadakan menjahar basmalah dalam Al-Fatihah itu
c). Hadits Anas tersebut, disamping mu’allal, bersifat meniadakan, sedangkan hadis Anas yang lainnya beserta hadis-hadis lain dari para sahabat menetapkan (istbat) adanya jahar dalam membaca basmalah. Padahal seperti yang di tetapkan dalam ilmu ushul fiqh ialah yang menetapkan (al-mutsbit) itu harus didahulukan daripada yang meniadakan, apalagi yang meniadakan itu masih mengandung ‘ilat (berupa hadis mu’allal). Menjam’u (mengkompromikan) pun tidak boleh dilakukan.
d) Diriwayatkan secara kuat dan benar, bahawa para sahabat yang empat -radhiyallahu ‘anhum- khususnya khalifah Umar dan khalifah ‘Ali semuanya menjaharkan bacaan basmalah dalam Al-Fatihah (lihat umpamanya kitab Ma’rifat As-Sunan Wa Al-Atsar [II:372 dan 378] ).
Wallahu a’lam.
ABU SUNNAH
AHLI SUNNAH WALJAMAAH NEGERI SEMBILAN
Like Page Sunnah Rasulullah
https://m.facebook.com/Sunnah-Rasulullah-990303737717259/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment